Pelanggan
yang berada di hadapanku menghulurkan tiga keping not lima puluh ringgit. Aku terus
membuka mesin wang dan mengembalikan baki beberapa keping wang seringgit
kepadanya semula.
“Terima
kasih, selamat membaca dan sila datang lagi,” ucapku sambil tersenyum.
“Ya,
sama-sama,” balas wanita muda itu sambil tersenyum dan berjalan ke pintu keluar.
Aku
menjenguk ke dalam pejabat. Munir sedang sibuk mengeluarkan buku-buku yang baru
sampai dari kotak.
“Moon,
kau tolong tengok kaunter. Aku nak sambung susun buku kat rak,” pintaku.
“Ok,
nanti aku keluar. Ada lagi pelanggan kat luar?”
“Emm,
tak ada dah. Moon, petang nanti aku balik rumah terus ya,” pintaku sambil
tersengih.
“Ooo,
projek kahwin dengan your mum ya?”
Aku
tertawa mendengarnya menyebut perkataan “projek kahwin”.
Ada-ada sahaja si
Munir ni.
“Seronok
aku tengok wajah kau sekarang. Semakin berseri-seri. Bercahaya bagai bintang di
langit,” puji Munir sambil berjalan menghampiriku.
Aku tertawa kecil mendengar
kata-katanya.
“Kau
ni pun, nak puji tu agak-agaklah sikit. Bagai bintang di langit…hahaha”
“Eh,
oklah tu aku sebut kau macam bintang. Kalau aku sebut bulan, kau kata bulan tu
tak cantik sebab banyak kawah.”
Hah!
Kawah? Munir sudah tergelak terbahak-bahak. Agaknya dia pun sudah membayangkan
diriku seperti bulan yang ada banyak kawah. Kurang asam punya kawan!
“Eh,
dah tetap tarikh nikah dan kenduri?”
Senyumanku
mati apabila mendengar soalan itu.
“Itulah,
hari tu dia cakap sebulan dari tarikh kami bertunang. Tapi sekarang ni dia
sibuk pula dengan projek kat Dubai tu. Mungkin tangguh lagi beberapa bulan.
Lagi pun ini projek sulung dia. Biarlah dia selesaikan dahulu kerja dia.
Selepas ni, aku tak perlu susah hati tengok dia tak senang duduk dengan
kerjanya itu.”
“Habis
tu, kau tak kisah ke?”
“Gila
kau, aku tak kisah! Aku lagi susah hati. Lagi lama bertunang, dah tentu lagi
banyak dugaan. Tapi nak buat macam mana. Dia kerja ni pun untuk aku juga.”
“Kau
ikut dia ke Dubai?”
“Hish!
Nak buat apa ikut? Lagipun dia pergi kerja kan.”
Kting!
Kami berdua berpandangan seketika.
“Kau
pergilah… Aku nak kira stok bagi habis ni. Ada sedikit lagi. Please…..”
Aku
mencebik.
Munir
tertawa tanda berjaya memujukku agar melayani pelanggan yang baru masuk
sebentar tadi.
“Kau
hutang aku kerja yer,” ugutku sambil bergerak ke depan.
Sewaktu
aku kembali ke ruang depan, Luqman sudah bertenggek di tepi kaunter.
“Apa
abang buat kat sini?” soalku sedikit kehairanan.
“Aik?
Abang tak boleh datang tengok tunang abang ke?”
“Err,
tak maksud Min, abang kan sibuk. Tak payahlah susahkan diri, bazirkan masa
datang ke sini.”
“Jumpa
bakal isteri abang tak pernah menjadi sesuatu yang menyusahkan abang. You’re my inspiration,” jawabnya pantas
sambil menjeling.
Aku
tersengih.
“Nak
ajak Min dating ke?”
“Hmm,
jom teman abang. Abang ada janji dengan klien abang dekat-dekat sini.”
Alah,
dia nak jumpa klien. Bukannya sebab nak jumpa aku. Perasannya kau Mi, getus
hatiku.
“Emm,
tak apalah. Min tak nak ganggu abang,” tolakku lembut. Selebihnya aku malas nak
menunggu dia selesai kerja. Sudah tentu aku akan bosan menunggu.
“Abang
janji, tak lama. Lagi pun abang ingat nak bawa Min pilih baju kahwin,” pujuknya
tak mahu berputus asa. Aku berfikir sejenak.
“Hmm,
oklah. Tunggu sekejap. Min beritahu Munir.”
Luqman
tersenyum senang.
***
Aku
memerhati Luqman bersama dua orang lelaki dan seorang wanita muda. Yeah,
sengaja aku pilih untuk duduk di meja yang berasingan. Malas henadak mendengar
istilah-istilah yang aku tidak faham. Daripada aku memperbodohkan diriku, lebih
baik aku duduk sendirian. Bunyi macam orang bengang sahaja. Huh! Siapa yang tak
bengang apabila terpaksa melihat pandangan wanita muda yang datang bersama dua
orang lelaki itu. Asyik memandang ke arah Luqman tanpa memandang ke arah lain.
Perempuan tu seperti terlebih gedik. Luqman pula kulihat baik pula melayan
tingkah perempuan itu. Sakit hati aku melihatnya.
Treett….
Aku
memandang telefon bimbitku. Aku tersenyum. Abang Nain!
:
Min kat mana? Abang ke kedai, Min tak ada.
:
Min kat Delin’s. Datanglah sini.
:
Eh, Min dengan siapa?
:
Min dengan Luq. Datanglah!
: Eh,
takkan abang nak ganggu Min tengah dating?
:
Eh, tak. Abang Nain tak ganggu. Datanglah. Min bukan sedang dating. Min cuma teman Luq jumpa klien.
:
Ok, lagi 5 minit abang sampai.
Aku
tersenyum. Sekurang-kurangnya aku ada teman berbual.
Tepat
lima minit abang Nain dah berada di hadapan pintu Delin’s. Aku melambai ke
arahnya apabila melihat dia masih tercangak di situ. Abang Nain menghampiriku.
“Mana
Luqman?”
Aku
memuncungkan bibirku ke arah Luqman yang berada selang beberapa buah meja.
“Kenapa
ni? Macam orang stress.”
“Cerhh!
Rasa nak balik pun ada ni. Perempuan di sebelah tu tak toleh ke lain, asyik
sungguh tengok Luqman. Macam tengok bidadara.”
Abang
Nain tertawa.
“Dah
tahu dia nak buat kerja, kenapa ikut?”
“Bukan
Min yang nak ikut. Luq yang ajak.”
“Habis
tu, kenapa ikut?”
“Dia
cakap nak tunjuk kedai baju untuk perkahwinan.”
Abang
Nain tertawa lagi. Lucu benar bila mendengar jawapanku.
“Memang
nampak muka macam bosan pun. Baca buku apa?” soalnya kembali sambil membelek
buku di tanganku.
“Novel.
Mujur bawa ni, boleh juga baca. Kalau tidak tentu muka Min macam cicak berak
kapur,” ujarku tertawa dan kata-kataku disambut dengan deraian tawa Abang Nain.
“Seronok
nampak!” sergah Luqman.
Kami
menoleh. Bila masa Luqman datang menghampiri kami? Aku menoleh ke arah meja
Luqman bersama kliennya. Kliennya masih di situ.
“Abang
dah selesai berbincang?”
“Min
pun dah selesai berbincang?”
Wajahku
berubah. Ada nada kurang senang dalam soalannya.
“Apa
maksud abang?”
“Yalah,
nampak seronok benar bergelak tawa…”
Aku
memandang ke arah Abang Nain. Aku seperti kenal nada itu. Nada orang cemburu.
“Abang
Nain kebetulan datang kedai, Min pelawa datang sini sementara abang...”
“Kebetulan…”
pintasnya kembali memandang lelaki yang duduk di sebelahku.
“Luq,
aku tahu kau sibuk dengan projek Dubai tu. Tapi aku rasa kau tak patut suruh
Jasmin tunggu kau di sini. Tentulah dia bosan menunggu. Aku pun biasa jumpa
klien. Aku tahu setiap perjumpaan itu
mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan.”
Aku
menarik hujung baju Abang Nain sambil memberi isyarat jangan campur tangan
dengan menggelengkan kepala. Luqman memandangku tajam.
“Aku
cuma minta Min tunggu sahajalah. Bukannya apa pun. Lagipun dia bawa buku. Kalau
dia bosan, dia boleh balik ke kedainya. Bukannya jauh sangat. Selang beberapa
buah kedai sahaja.”
Darahku
tiba-tiba tersirap. Apa ni? Setelah hampir 2 jam aku menunggunya, ini yang aku
dapat? Tiba-tiba klien wanita yang berada di meja perbincangan tadi datang
menghampiri kami. Tangannya pantas memaut lengan Luqman. Aku tersentak melihat
situasi tersebut. Wanita itu begitu mesra sekali dan tiada perasaan malu
walaupun di hadapan aku dan Abang Nain.
“Hai
Dzulkarnain. I tak tahu you pun ada di sini. Maaf mengganggu ya.
I nak tanya Man tentang tiket kapal
terbang. You dah booking tiket kapal terbang ke Dubai? Kalau belum, kami boleh
tempahkan sekali. Boleh kita pergi ke Dubai bersama-sama nanti.”
Pergi
bersama-sama?
“Err,
sudah. Saya dah tempah tiket kapal terbang.”
“Oh,
ya ka? Bila tu? Boleh I tempah hari
yang sama dengan you.”
“Saya
tak pasti sebab semua setiausaha syarikat yang uruskan. Nanti saya maklumkan
kemudian.”
“Oh,
ok. Jangan lupa ya beritahu nanti,” ujarnya sambil berlalu ke meja perbincangan
mereka.
Aku
memandang wajah Luqman. Riak wajahnya berubah.
Dia
memang sengaja mencari pasal. Aku pantas berdiri. Aku tak boleh lagi berada di
situ. Hatiku semakin panas dengan tingkahnya. Ditambah pula dengan pemandangan
yang menyakitkan hati.
Luqman
dan Abang Nain memandang ke arahku serentak.
“Nak
ke mana?” soal Abang Nain kehairanan.
“Balik.”
Aku
menolak tubuh Luqman yang cuba menghalang laluanku. Luqman cuba memegang
lenganku. Aku memandang ke wajahnya.
Aku ingin mengatakan sesuatu, tetapi merasakan tidak wajar aku hanya berlalu pergi tanpa berkata apa-apa pun.
***
Dzulkarnain
merenung ke arah Luqman. Dalam.
“Apa?”
soal Luqman sambil memandang Dzulkarnain.
“Puas
hati?”
“Apa
yang puas hatinya?”
“Huh!
Boleh tak kau berfikiran matang sedikit? Man, aku yang lelaki ni pun boleh rasa
geram melihat wanita yang duduk di sebelah kau tu. Ini kan pula Jasmin, tunang
kau. Lepas tu kau biarkan dia sendirian, melihat tingkah perempuan itu selama 2
jam. Kau ingat Jasmin tak ada perasaan cemburu? Ada tak dia serang kau seperti
kau serang kami tadi? Lagipun kau berdua dah bertunang, buat apa kau nak
cemburukan kami. Fikir-fikirkanlah.”
Luqman
termanggu memandang Dzulkarnain pergi. Sekarang perasaan bersalah mula menerpa
dalam hati. Jasmin! Dia merasakan dia perlu lakukan sesuatu.
Luqman
kembali ke meja tadi.
“Encik
Fendy, Encik Halim, Cik Sara, maafkan saya. Boleh kita hentikan perbincangan
kita setakat ini dahulu? Saya ada hal yang perlu diuruskan segera. Saya akan
hubungi anda semua esok untuk tetapkan janji temu sekali lagi,” pesannya sambil
mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja.
“Hmm,
baiklah Encik Luqman. Ini pun dah melepasi waktu pejabat. Nanti saya sendiri
akan hubungi Encik Luqman,” ujar lelaki yan bernama Fendy sambil bersalaman
dengan Luqman.
“Sara,
di mana you letak kereta? Nak balik
bersama-sama kami?” pelawa Halim sambil memandang wanita cantik itu.
“Mmm,
tak apa. I boleh balik sendiri,” tolaknya lembut sambil mengerling ke arah
Luqman.
Beberapa
ketika kemudian kedua-dua lelaki tersebut beredar meninggalkan tempat tersebut.
“Luqman,
bila kita boleh berjumpa lagi?”soal Sara sambil memegang tangan kiri Luqman.
Luqman terkejut dengan tindakan wanita itu. Namun dengan hormat dia melepaskan
pautan wanita itu dengan perlahan.
“Cik
Sara, seperti yang saya kata tadi. Sila hubungi setiausaha syarikat untuk janji
temu sekali lagi. Terima kasih. Saya perlu berjumpa dengan tunang saya.”
“Tunang?”
“Ya,
tunang. Cik Sara ada masalah ke dengan itu?”
“Errr,
tak. Maafkan saya.”
***
Telefon
aku berdering lagi. Aku mengeluh memandang nama yang terpapar di skrin telefon.
Malas aku nak mengangkatnya. Biarlah hatiku sejuk sedikit sebelum aku bercakap
dengannya. Aku risau kalau aku angkat dan bercakap dengannya, aku akan bercakap
dalam nada yang marah.
Pergaduhan
pertama selepas bergelar tunang. Huh! Pelik benar bunyinya. Tetapi ia
kenyataan. Err, bukan ke Luqman memang kuat cemburu. Aku tersenyum mengenangkan
peristiwa dia jatuh dari pokok rambutan di kampung. Itu sifat cemburu yang
paling ketara aku nampak. Tapi semasa itu, aku belum pasti dia benar-benar
sukakan aku. Sekarang dengan ikatan kami sebagai tunang, perlukah lagi perasaan
cemburu itu? Tambahan pula dengan Abang Nain. Aku sendiri pernah katakan Abang
Nain itu ibarat abang kandungku sementelah aku tiada adik beradik lain.
:
Min, ada di mana? Semua orang sedang cari Min.
Pesanan
ringkas Abang Nain. Aku membiarkannya sahaja tanpa membalas pesanan ringkas
tersebut. Lagipun bateri telefonku hanya tinggal satu bar. Beberapa minit lagi
ia pasti akan terpadam sendiri.
:
Min, babah call, kenapa tak angkat?
Babah.
:
Jasmin Alia, please pick up your phone!
Munir.
Luqman?
Huh, lelaki ego! Mungkin berasa putus asa kerana aku langsung tidak mengangkat
talian telefonnya.
Bip!
Aku memandang semula telefon bimbitku. Lampu skrin terpadam terus. Baterinya
benar-benar dah habis. Aku mengeluh. Sekarang tak ada siapa yang akan dapat
menghubungi aku lagi. Aku melabuhkan punggung di atas pangkin pokok. Dah lama
aku tidak duduk di sini. Jelaslah aku dah lama tidak merajuk. Hanya orang yang
mengenali diriku sahaja yang tahu di mana aku selalu berada sekiranya aku
merajuk. Ayah cu. Ya, ayah cu yang selalu datang mencariku di sini. Kalau dulu,
zaman persekolahan aku sering duduk di situ. Di situlah tempat aku memujuk
hatiku sendiri. Berjam-jam merajuk kerana babah yang langsung tidak pedulikan
aku dan sering meninggalkan aku di rumah ayah long. Merajuk dalam erti kata,
langsung tak balik rumah ayah long untuk makan, minum dan mandi. Tetapi siang
hari sahaja aku berani duduk di situ. Menjelang maghrib aku akan mencicit lari
balik ke rumah juga. Gilalah aku kalau duduk di situ malam-malam. Buatnya
disergah hantu pokok ketapang yang besar dua pemeluk aku tu, mau demam aku
seminggu tak kebah-kebah. Kebiasaannya ayah cu akan datang pujukku selepas
asar. Dia akan bawa sebekas kuih bekal dari ummi long untuk aku alas perut
kerana langsung tidak menyentuh makanan dari tengahari. Apabila ayah cu sambung
belajar di luar negara, Nadheera pula menggantikannya untuk datang memujukku.
Sekarang… hmmm… aku mengeluh lagi. Rindu pula aku dengan zaman persekolahanku.
Dua
jam yang lalu aku tiba di rumah ayah long. Kosong. Mungkin ayah long dan ummi
long keluar. Salahku juga kerana tidak memberitahu sesiapa yang aku datang ke
sini. Semua pintu berkunci lalu aku sekadar meninggalkan beg galasku di luar
berandah dan berjalan menuju ke tempat yang aku berada sekarang. Pangkin di
bawah pokok ketapang, yang berada sepuluh meter di hadapan rumah ayah long. Tak
jauh pun tempat aku merajuk. Depan rumah ayah long sahaja. Tetapi tempatnya
agak tersorok kerana pokok ketapang itu sangat besar sehinggakan tiada siapa
yang akan tahu ada pangkin di situ sekiranya tidak biasa di situ.
Sebaik
aku keluar dari Delin’s tengahari semalam, aku terus mengambil teksi dan
meminta pemandunya menghantar aku ke kampung. Melayang not seratusku membayar
tambang teksi tadi. Aku langsung tidak menghubungi sesiapa termasuklah babah.
Jadinya tiada sesiapa yang tahu aku berada di sini. Cenggeng kan aku ni? Untuk
perkara-perkara yang remeh, aku sanggup merajuk sehingga ke sini. Eh, aku
merajuk ke? Teringat kembali peristiwa awal tengahari tadi di Delin’s
membuatkan hatiku sakit tiba-tiba.
Sunyi
sungguh suasana petang ni. Sesekali terasa juga semilir yang menghembus ke
wajah. Sejuk dan naman. Aku menginjak ke tepi pangkin. Membiarkan kakiku
terjuntai di bawah. Memang pangkin ini tinggi. Jarak kakiku dua jengkal dari
tanah membolehkan aku menghayunkan kedua-dua belah kakiku perlahan-lahan. Aku
tersenyum sendirian.
“Tak
baik anak dara merajuk lama-lama. Lagi-lagi kalau dah bertunang. Darah manis
tu.”
Kuss,
semangat! Terkejut aku mendengar suara ayah cu dari belakang. Mahu tak terkejut.
Aku pantas menoleh. Ayah cu tersenyum dan di tangannya ada sebiji bekas
makanan. Aku mengetap bibir. Ada rasa terharu dalam dada. Lantas aku berdiri
dan menyalami tangannya. Sama keadaan seperti dulu. Dialah tempat aku mengadu.
Tempat aku melepaskan rasa tidak puas hatiku.
“Cenggeng
sungguh! Langsung tidak berubah. Kenapa datang sini tak beritahu sesiapa?
Kenapa matikan telefon? Tahu tak semua orang cari Min,” marah Ayah Cu sambil
mencubit pipiku tanpa sempat mengelak. Aduh, sakitlah!
Aku
mengusap-usap pipiku. Sengal. Ayah Cu ni kalau cubit orang memang tak tahu nak
cubit lembut.
“Bila
Ayah cu sampai? Macam mana ayah cu tahu Min ada kat sini?”
“Kalau
dah semua tempat orang cari, Min tiada. Di mana lagi kalau bukan di sini?
Tekaan ayah Cu memang tepat, Min ada di sini. Min tahu tak semua orang risaukan
Min, susah hati kerana Min. Luqman datang rumah babah Min. Babah cari Min di
rumah Dzulkarnain. Dia call Munir tanyakan Min. Munir pula telefon Nad di
rumah. Bila Ayah Long dan Ummi Long dengar semua ni, mereka susah hati. Nak
duduk di rumah ayah Cu pun dah rasa tak tenang. Kami terus bertolak balik ke
sini mengharapkan Min memang pulang ke sini. Kenapa ni Min? Takkan kerana
merajuk kepada Luqman, Min sanggup membiarkan semua orang mencari Min. Ayah Cu
tak pernah ajar Min berperangai seperti ini.”
“Ayah
Long dan Ummi Long pergi rumah ayah cu ke? Kenapa ayah cu tak cakap, kalau
tidak boleh Min pergi ke sana. Achu Nad balik sekali tak? Baby Aina ada sama
ke?” soalku keriangan. Membiarkan pertanyaan ayah cu tidak berjawab.
“Min,
ayah cu tanya ni…”
“Min
tak nak bincang hal ini. Min harap ayah cu faham. Jom ayah cu, kita balik. Min
nak jumpa baby Aina,” ajakku pantas
menarik tangannya menuju ke rumah.
Namun
baru beberapa langkah menghampiri halaman rumah ayah long, aku terperasan ada
kereta Luqman dalam deretan kereta yang terparkir. Langkahku terhenti.
Dia
pun datang juga. Eh, biarlah dia datang. Ini pun kampung dia juga. Rumah mak
dia di hujung kampung ni sahaja. Tapi aku tak mahu berjumpa dengannya lagi.
Marah? Tak juga. Aku bukan marah padanya. Cuma aku terasa hati sahaja dan
hatiku kuat merasakan aku masih belum bersedia untuk berjumpa dengannya.
“Anak
bertuah! Jasmin Alia! Min tahu tak apa yang Min dah buat?”
Aku
tercengang mendegar jerkahan babah di atas berandah. Ibu Darlynna kelihatan
mencuit-cuit lengan babah. Cuba menenangkan babah yang sudah berwajah garang. Aku tidak pernah melihat babah marah sampai begitu sekali. Ini kali pertama dalam hidupku, aku dimarahinya.
“Cubalah
berfikiran matang. Min tahu tak semua orang susah hati kerana Min. Luqman ni
dah risau dengan kehilangan Min. Ke sana sini dia mencari Min. Telefon, tak
berangkat,” sambung babah lagi.
“Iskandar,
cuba bawa bersabar. Panggil dahulu Jasmin masuk dalam rumah. Jangan dimarahi di
luar rumah ni. Ramai orang yang nampak. Malu dia nanti,” sahut ayah long dari
pintu rumah.
“Biarlah
abang long. Jasmin ni dah terlalu melampau. Dah dewasa tetapi perangai masih
tidak berubah. Cengeng tak bertempat. Ada telefon, ditutupnya. Merajuk seperti
budak-budak!”
Aku
tersentap. Tidak pernah aku dimarahi seperti itu. Di hadapan semua orang
termasuk Luqman. Kiranya tindakan aku kali ini telah menaikkan amarah babah.
Aku terasa kesal. Tetapi aku bukan sengaja tidak mahu menjawab panggilan
telefon. Tetapi telefon aku memang sudah kehabisan bateri. Aku memandang wajah
Luqman sambil mengetap bibir. Lama aku mendiamkan diri. Lama juga semua orang
memandang aku. Aku bagaikan pesalah yang besar di pandangan mata mereka. Ada
air panas yang mula mengalir di pipiku. Aku pantas mengesatnya. Tidak mahu
menunjukkan diriku lemah. Namun air panas ini terus-terusan mengalir. Ibu
Darlynna pantas turun menghampiriku dan terus memeluk tubuhku. Aku terus
menangis tersedu-sedu.
“Syhhh,
jangan menangis. Jom ikut ibu masuk dalam rumah,” ibu Darlynna menarik aku
masuk ke dalam rumah. Kepalaku tunduk ke bawah. Tidak berani memandang babah.
****
“Dah
lah tu, Iskandar... Kamu ni pun, nak marahkan anak biarlah dengan cara yang
elok. Bukan dengan cara memalukannya di depan semua orang. Dia pun ada maruah
ada air muka. Cuba bawa berbincang elok-elok.”
Suara
ayah long kedengaran lembut di luar bilikku.
“Kalau
dia tahu dia ada maruah, dia jaga air muka saya, abang long. Bukan dengan
melarikan diri macam ni.”
“Iskandar,
aku tahu perangai Jasmin. Dia bukan sehari dua duduk dengan kami. Bertahun
sepanjang kamu berkerja di luar negara. Kalau perangainya begitu, kamu tak
fikirkah bahawa perangainya itu adalah warisan dari kamu? Merajuk
bertahun-tahun, bawa diri ke luar negara.”
Diam.
Sunyi.
“Ke
mana kuah akan tumpah kalau tidak ke nasi. Anak dengan bapa sama sahaja
perangainya. Kak long bukan hendak memulang paku buah keras tetapi kaklong
sekadar hendak mengingatkan. Sebelum engkau mengambil dia, kak long dan abang
long kau yang menjaganya. Kau tanya cu, berapa kali dia merajuk kerana sikap
engkau yang tidak mengendahkan dia? Cu yang banyak memujuk dia. ”
Kedengaran
suara ummi long pula menyambung. Babah ditegur lagi. Dan aku langsung tidak
mendengar suara babah melainkan keluhannya.
“Hal
orang muda, biarlah mereka berdua yang selesaikan sendiri. Kamu tak perlulah
terlampau keras dengan dia. Aku tahu, bila dia begitu mesti ada sebab dan dia
tidak akan melakukan perkara yang akan memalukan kita sebagai orang tuanya. Aku
dan kak long kau dah beri lebih didikan agama kepadanya. Aku yakin dia tahu
batasannya sebagai seorang anak.”
Aku
menghela nafas lega. Syukur aku ada ibu dan bapa saudara yang sangat-sangat
memahamiku. Pelahan-lahan aku merebahkan tubuhku di atas katil. Kejadian hari
ini, banyak mengajar aku agar lebih berfikiran rasional dan bukannya mengikut
perasaan. Aku tak marahkan babah. Aku tidak kecil hati dengan tindakan babah.
Aku tahu dia risaukan diriku. Aku tahu dia memang sangat sayangkan diriku
kerana dia hanya ada aku, anaknya dan aku hanya ada dia sebagai bapa kandungku.
Tiada yang lain.
***
Terasa
ada air panas yang menitik ke dahiku. Kemudian terasa pula ada kucupan panas di
dahiku. Aku menggosok mata yang sedikit pedih. Mungkin juga sebab terlalu
banyak menangis. Aku membuka mata. Babah!
“Maafkan
babah, Min,” ucap babah lirih. Hatiku sayu.
Sebenarnya
aku memang hendak berjumpa dengannya semalam. Tetapi ibu Darlynna cakap babah
ke surau dengan ayah long. Selepas makan malam semalam aku terus masuk ke bilik
dan tidak perasan waktu bila aku terlelap.
Aku
bingkas memeluk tubuhnya.
“Babah
tak salah. Min yang salah. Min terlalu ikutkan perasaan Min,” ujarku sebak.
“Luqman
dah ceritakan segalanya. Babah tak sepatutnya marahkan Min melulu. Tetapi babah
memang sangat risaukan Min bila tiada seorang pun boleh menghubungi Min. Babah
takut sesuatu yang buruk berlaku pada Min. Babah tidak akan dapat maafkan diri
babah sekiranya benda buruk berlaku pada Min. Babah harap Min faham perasaan
babah.”
Aku
melepaskan pelukannya. Dengan perlahan aku mengusap pipinya yang sudah ada
sedikit kedutan sambil tersenyum.
“Min
faham babah. Min tak marahkan babah. Cuma… Min nak jelaskan yang Min bukan
sengaja tidak mahu menjawab panggilan telefon, tetapi bateri telefon Min memang
betul-betul habis. Maafkan Min babah.”
Lelaki
di hadapanku ini mengeluh.
“Ambil
pengajaran tentang perkara ini. Selepas ni babah tak mahu Min lalai lagi. Caj
bateri telefon setiap hari. Faham?”
Aku
mengangguk tanda mengerti.
“Yes,
bos!” ujarku sambil mengangkat tabik hormat kepadanya.
Babah
tertawa sambil mengusap ubun-ubunku. Alhamdulillah, selesai satu bab. Tinggal
bab aku dengan Luqman pula.
5 ulasan:
Best..da lme tertgu2..:)
akhirnya.....(Y)
mmng pn,lma sngt tnggu n3 bru,tq TT,smbg lg na
best nak lagi.
waaa best dh lama tgu n3 ni hampir2 lupa jln cita dia
Catat Ulasan