Khamis, 5 Julai 2018

JANJI KASIH (3)

Aku menyedut udara petang yang segar sebaik sahaja menjejak kaki di Kampung Serendak. Kampung kelahiran mamaku. Kampung kelahiranku juga. Sudah 20 tahun aku tidak pernah jejak ke sini. Rindu yang teramat dengan suasana di sini.

“Khadeeja!”

Aku tersenyum memandang Ummi Samirah yang berdiri di hadapan halaman rumahnya. Aku pantas menerpa ke arahnya dan memeluknya.

“MasyaAllah, bila Eja sampai? Kenapa tak telefon dahulu, boleh Long pergi ambil di stesen bas.”

“Tak apa ummi. Eja naik Grab saja. Senang sekarang ni, tak perlu tunggu teksi.”

“Yelah, sekarang ni semuanya semakin mudah. Marilah masuk. Terkejut juga Ummi, bila Ayah Eja telefon semalam. Tapi, Ummi lega bila tengok Eja dah selamat sampai sini,” ujar Ummi sambil memeluk bahuku.

Ummi lega? Tetapi kenapa nampak wajah Ummi seperti keresahan sahaja.

“Jom masuk. Ummi dah siapkan pulut inti kat dapur.”

Aku mencerlang. Makanan kegemaranku.

“Wow, makanan kegemaran Eja tu. Mesti sedap. Dah lama Eja tak makan pulut inti ummi masak.”

“Ummi tahu… jom.”

Aku tersenyum sambil membontoti ummi masuk ke dalam rumah. Namun tatkala kakiku melangkah ke serambi rumah Long Hadi dan Ummi Samirah, terasa seperti ada seseorang sedang memerhatiku. Langkahku terhenti. Aku menoleh ke sisi dan belakang. Kosong. Tatkala itu juga terasa seperti angin meniup lembut memupuk wajahku. Dingin dan berbau wangi. Aku terpinga-pinga. Mataku meliar memandang sekeliling. Sunyi.

“Eja, kenapa berhenti di sini. Mari masuk. Nanti Ummi tunjukkan bilik kamu,” pelawa Ummi di muka pintu. Wajahnya sedikit kehairanan melihat tingkahku.

Aku tersenyum. Tanganku pantas menarik beg pakaian dan mengikuti langkah ummi ke dalam rumah.

***

Aku memandang wajah Long Hadi. Tubuhnya yang sudah dimamah usia masih tegap berdiri di tengah rumah. Long Hadi, saudara kandung dan abang sulung arwah mama. Lelaki itu bergerak duduk di bertentang denganku.

Sambil menghela nafas berat, “Long sebenarnya tak suka Khadeeja datang sini. Bukan setakat datang ke rumah Long tetapi juga datang ke Kampung Serendak ni.”

Aku tersentak. Terang-terangan Long Hadi menyatakan perasaaannya kepadaku. Langsung tiada kias-kias. Benci sangat ke Long Hadi terhadapku?

“Abah longnya… kenapa cakap begitu depan Khadeeja ni? Dari jauh dia datang nak jenguk kita.”

Ummi di sebelah kananku, mengusap-usap belakang tubuhku. Cuba memberi kekuatan. Mungkin dia perasan perubahan pada wajahku. Mataku berkaca.

“Eja janji takkan susahkan Long dan Ummi. Eja cuma balik untuk menziarah kubur mama.”

Long Hadi mendengus kasar. Wajahnya memerah. Marah benar dia.

“Apa jaminan kau takkan susahkan aku sedangkan setapak kau jejak kaki ke dalam rumahku ini…”

Lantang suara Long Hadi, tapi Ummi pantas memintas suaranya.

“Abahnya…. Cukup-cukuplah. Jangan nak disalahkan budak ini. Dia tak tahu apa-apa,” pintas Ummi .

“Tahu apa, Ummi? Apa masalah yang akan Eja bawa kalau datang ke sini?”

“Err… tak ada apa Eja. Eja nak ke kubur mama kan? Esok pagi ummi bawa Eja pergi ziarah. Jangan pergi sendirian ya.”

Aku tersenyum nipis. Sedikit terubat dengan pujukan ummi meskipun ku perhatikan wajah Long Hadi masih kelat dan tajam memandangku.

Tiada ulasan: