Khamis, 5 Julai 2018

JANJI KASIH (4)

Hari kedua
Suasana di hilir sungai kecil, belakang rumah Long dan ummi kelihatan tenang. Aku menghirup nafas. Terasa udara segar memasuki ruang rongga peparuku. Segar dan nyaman. Tidak sama dengan udara di bandar. Busuk dan menyesakkan dada. Airnya juga jernih.
Sebaik sahaja balik dari menziarah kubur mama tadi, aku minta kebenaran daripada Ummi untuk keluar berjalan-jalan di sekitar kampung. Meskipun Ummi agak berat untuk melepaskan aku pergi sendirian, aku memberikan keyakinan kepadanya aku tak akan pergi jauh daripada kawasan rumahnya.
Aku menghampiri sebuah gua kecil yang terdapat berhampiran dengan sungai itu. Gua kecil itu lebih menyerupai lingkungan batu besar yang masuk ke dalam sedikit sahaja. Atasnya dilitupi ranting-ranting pohon yang terjuntai. Lingkungan itu menjadi semacam bilik kecil yang sesuai untuk dijadikan bilik persalinan pakaian. Dalam lingkungan batu itu terdapat batu-batu sungai bersaiz kecil dan besar serta berwarna-warni. Keadaan di dalam gua kecil yang bersih itu membuatkan perasaanku melonjak-lonjak untuk berendam di sungai itu.
Tanpa berlengah lagi aku menanggalkan baju blouse dan seluar palazo yang dipakai dan menggantungnya di atas salah satu batu besar yang terdapat di dalam gua itu. Mujur aku pakai baju dua lapis tetapi agak nipis dan seluar pendek paras lutut. Perlahan-lahan aku keluar dan berjalan di tepi tebing sungai. Berhati-hati memijak batu-batu kecil yang berada di sepanjang tebing sungai tersebut. Aku kemudiannya duduk di atas batu-batu kecil itu sambil menjulurkan kaki ke dalam air sungai. Ughhh, sejuknya, getus hatiku. Airnya juga cetek dan sememangnya sesuai untuk mandi di situ. Mujur tiada orang yang lalu lalang di kawasan itu. Tidaklah aku segan untuk berendam di dalam air sungai tu nanti. Aku menghela nafas panjang, menghirup udara segar yang terdapat di situ. Terdengar ciapan burung-burung yang menyanyi riang di sekitarnya. Terdengar tiupan semilir petang yang berdesir di celah-celah daun, rumput, lalang dan tumbuh-tumbuhan di sekeliling sungai ini. Membuatkan aku lupa seketika di mana aku berada. Perlahan-lahan aku berjalan di dalam aliran sungai. Walaupun sudah berada di bahagian tengahnya, ketinggian paras air hanya setakat paras dadaku sahaja. Aku menarik nafas dalam dan kemudiannya mengapungkan diriku di atas permukaan air sungai. Senyap. Hanya kedengaran dengungan aliran air sungai yang bergerak perlahan.
Pandanganku menghadap ke langit sambil mengira di dalam hati. 

1, 2,3, 4, 5.....
Tiba-tiba kedengaran seperti alunan muzik bergema di telingaku. Berdengung. Betul-betul dekat di telingaku. Aku terlepas nafas yang ditahan tadi. Kaget mendengar suara lembut yang bergema bersama aliran sungai ditelingaku.
"Assalamualaikum."
Suara orang yang memberi salam bergema di telingaku. Walaupun aku berada di dalam air, tetapi suara itu jelas di pendengaranku. Aku berpaling ke arah tebing sungai. Kelihatan seperti bayang seseorang yang sedang tercegat di situ.
Huh!
Tiba-tiba aku gagal mengawal keseimbangan badanku lalu tenggelam ke dasar sungai. Aku kehilangan punca. Terkapai-kapai dan gagal mencari jalan keluar untuk melonjakkan diri ke permukaan. Pelik! Sungai yang memang aku yakin dasarnya tidak dalam, tiba-tiba jadi sebaliknya. Permukaan terasa sangat jauh untuk aku capai.
Dalam keadaan yang hampir lemas, tiba-tiba terasa ada tangan kasar yang menarik tubuhku ke atas.
"Maaf... Maaf... Abang tak sangka nak jadi begini," ujar lelaki itu sebaik sahaja tubuhku mencecah tebing sungai.
Aku terbatuk-batuk kerana tertelan air sungai. Lelaki itu menepuk-nepuk belakangku. Aku mencerlang. Dia sentuh tubuhku! Aku memandang ke arahnya. Tajam.
"Awak ni siapa?" soalku dalam nada suara yang masih serak tetapi tegas.
Cuba memberi isyarat mata agar tidak terus menyentuhku. Lelaki itu mengangkat kedua-dua belah tangannya seraya bergerak menjauh sedikit dari tempat dudukku.
"Khadeeja tak kenal abang?"
Dia tahu namaku? Abang? Lagi sekali aku terdengar dia membahasakan dirinya abang.
Aku sekadar menggelengkan kepala.
"Uhuk...uhuk."
Tekakku masih perit. Mungkin kerana terlalu banyak tertelan air. Aku menggelengkan kepala. Tak mampu menjawabnya. Suaraku tiba-tiba hilang untuk seketika. Aku cuba untuk batuk sekali lagi bagi mengeluarkan sisa air sungai yang masih terasa kelat di anak tekak. Aku semakin kehairanan. Siapa lelaki ini?
"Dulu kita selalu bermain bersama masa kecil-kecil. Mandi sama-sama kat sini."
Aku mengerutkan dahi.
"Maaf. Saya dah tak ingat zaman saya kecil dahulu."
"Langsung tak ingat kenangan di kampung ni?"
Aku menggelengkan kepala sekali lagi.
Lelaki itu mengeluh.
Bau harum semakin semerbak menusuk ke hidung apabila lelaki itu cuba menghampiriku. Aku menginjak ke kanan untuk memberinya ruang. Tiba-tiba terasa keadaan sekelilingku berubah. Remang petang berubah redup dan berangin. Lembut menyapa pipiku. Aku cuba untuk menarik nafasku yang masih semput.
"Tak sangka, kita dah lama tak jumpa. Abang hampir-hampir tak kenal Khadeeja tadi. Tapi kilauan rantai yang ada pada Khadeeja menyebabkan abang nekad menegur tadi. Khadeeja dah besar sekarang dan semakin cantik."
Burr...
Terasa pipiku membahang. Pertama kali aku dipuji lelaki asing selain papa. Tatkala itu aku terperasan seperti diperhatikan. Aku mengalih ke arahnya.
Rupa-rupanya lelaki itu sedang merenung tubuhku sambil tersenyum. Baru aku perasan, aku hanya memakai t-shirt putih yang jarang serta berseluar paras lutut.
"Masyaallah!"
Hampeh! Lelaki gatal!
Aku terus bingkas. Mahu kembali ke kawasan gua kecil, tempat aku menukar pakaian tadi. Tetapi, tiba-tiba tanganku di tarik lembut.
"Eh, nak ke mana?"
Aku tersentak. Dengan pantas aku menarik tanganku daripada pautan ya.
"Saya nak pergi tukar pakaian. Boleh tak jangan pegang-pegang saya?"
Lelaki itu tergelak kecil. Mungkin baru sedar dengan renungan nakalnya yang mula merayap ke tubuhku yang kebasahan.
"Oh, ok. Abang tunggu Khadeeja di sini."
Aku terus melangkah pantas. Setiba di gua, aku cepat-cepat menukar pakaian kering yang kutinggalkan di dalam gua tersebut. Beberapa minit kemudian aku kembali ke tempat aku mandi tadi. Lelaki itu masih berada di situ. Duduk di atas batu-batu kecil di tepi tebing. Kakinya menjulur ke dalam anak sungai. Bajunya kering? Baru aku perasan, ketika dia terjun menyelamatkanku, dia tidak berbaju. Bermakna aku benar-benar memeluk tubuhnya yang tidak berbaju. Wajahku serasa bahang panas.
Apabila aku semakin menghampirinya, dia menoleh dan tersenyum ke arahku.
"Encik..."
"Umar. Panggil abang Umar."
"Ohh... err.. abang Umar, terima kasih sebab selamatkan saya tadi."
"Sama-sama. Tak apa. Salah abang jugak sebab datang sergah tiba-tiba."
"Saya tak pandai berenang sebenarnya. Setakat terapung macam tu boleh lah. Jadi kalau hilang konsentrasi, memang jadi macam tadi lah."
"Owh, masih tak boleh berenang?"
Aku mengerutkan dahi. Apa maksudnya masih tak boleh berenang? Dia tahu yang aku tak pandai berenang ke?
Dia merenungku. Lama. Gelisah dengan pandangannya, aku membetulkan pakaianku. Aku menyisir  rambutku yang masih kebasahan dengan jari.
"Kenapa? Ada yang tak kena ke?"
"Eh, tak ada apa-apa."
Aku memerhatikan sekeliling. Suasana redup. Langsung tak panas macam aku mula-mula sampai tadi. Pantas aku melihat jam di tangan. Pukul 6! Patutlah. Dah lewat petang rupanya.
"Maaf. Saya perlu beransur dulu. Risau Ummi cari saya sebab lama sangat saya di sini."
"Kita jumpa lagi nanti."
Lelaki itu tersenyum. 
Errr....jumpa lagi? Siapa awak ni? 
x

Tiada ulasan: