2008
Suasana di hilir sungai kecil, belakang rumah mak tok kelihatan tenang. Aku menghirup nafas. Terasa udara segar memasuki ruang rongga peparuku. Segar dan nyaman. Tidak sama dengan udara di bandar. Busuk dan menyesakkan dada. Airnya juga jernih.
Aku menghampiri sebuah gua kecil yang terdapat berhampiran dengan sungai itu. Gua kecil itu lebih menyerupai lingkungan batu besar yang masuk ke dalam sedikit sahaja. Atasnya dilitupi ranting-ranting pohon yang terjuntai. Lingkungan itu menjadi semacam bilik kecil yang sesuai untuk dijadikan bilik persalinan pakaian. Dalam lingkungan batu itu terdapat batu-batu sungai bersaiz kecil dan besar serta berwarna-warni.
Keadaan di dalam gua kecil yang bersih itu membuatkan perasaanku melonjak-lonjak untuk berendam di sungai itu. Tanpa berlengah lagi aku menanggalkan jaket biru dan seluar jeans dan menggantungnya di atas salah satu batu besar yang terdapat di dalam gua itu. Dengan hanya berbaju T-shirt lengan pendek dan berseluar pendek paras lutut, aku berdiri tegak di atas tebing sungai. Berhati-hati memijak batu-batu kecil yang berada di sepanjang tebing sungai tersebut.
Aku kemudiannya duduk di atas batu-batu kecil itu sambil menjulurkan kaki ke dalam air sungai. Ughhh, sejuknya, getus hatiku. Airnya juga cetek dan sememangnya sesuai untuk mandi di situ. Mujur tiada orang yang lalu lalang di kawasan itu. Tidaklah aku segan untuk berendam di dalam air sungai tu nanti.
Aku menghela nafas panjang, menghirup udara segar yang terdapat di situ. Terdengar ciapan burung-burung yang menyanyi riang di sekitarnya. Terdengar tiupan semilir petang yang berdesir di celah-celah daun, rumput, lalang dan tumbuh-tumbuhan di sekeliling sungai ini. Membuatkan aku lupa seketika di mana aku berada.
Perlahan-lahan aku berjalan di dalam aliran sungai. Walaupun sudah berada di bahagian tengahnya, ketinggian paras air hanya setakat paras dadaku sahaja.
Aku menarik nafas dalam dan kemudiannya mengapungkan diriku di atas permukaan air sungai. Senyap. Hanya kedengaran dengungan aliran air sungai yang bergerak perlahan. Pandanganku menghadap ke langit sambil mengira di dalam hati.
1, 2,3, 4, 5…..
Tiba-tiba kedengaran seperti alunan muzik bergema di telingaku.
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Aku terlepas nafas yang ditahan tadi. Kaget mendengar suara lembut yang bergema bersama aliran sungai di telingaku.
“Assalamualaikum.”
Suara orang yang memberi salam bergema di telingaku. Walaupun aku berada di dalam air, tetapi suara itu jelas di pendengaranku.
Aku berpaling ke arah tebing sungai. Kelihatan seperti bayang seseorang yang sedang tercegat di situ. Huh! Tiba-tiba aku gagal mengawal keseimbangan badanku lalu tenggelam ke dasar sungai. Aku kehilangan punca. Terkapai-kapai dan gagal mencari jalan keluar untuk melonjakkan diri ke permukaan. Dalam keadaan yang hampir lemas, tiba-tiba terasa ada tangan kasar yang menarik tubuhku ke atas.
“Maafkan abang. Abang tak sangka nak jadi begini,” ujar lelaki itu sebaik sahaja tubuhku mencecah tebing sungai. Aku terbatuk-batuk kerana tertelan air sungai. Lelaki itu menepuk-nepuk belakangku.
Aku memandang ke arahnya. Abang?
“Awak ni siapa?” soalku dalam nada suara yang masih serak.
“Khadeeja tak kenal abang?” Dia tahu namaku? Tekakku perit. Mungkin kerana terlalu banyak tertelan air.
Aku menggelengkan kepala. Tak mampu menjawabnya. Suaraku tiba-tiba hilang untuk seketika. Aku cuba untuk batuk bagi mengeluarkan sisa air sungai yang masih terasa kelat di anak tekak.
Aku semakin kehairanan. Siapa lelaki ini? Bau harum semakin semerbak menusuk ke hidung apabila lelaki itu terus melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku menginjak ke kanan untuk memberinya ruang.
Tiba-tiba terasa keadaan sekelilingku berubah. Remang petang berubah redup dan berangin. Lembut menyapa pipiku. Aku cuba untuk menarik nafasku yang masih semput.
“Tak sangka, kita dah lama tak jumpa. Abang hampir-hampir tak kenal Khadeeja tadi. Tapi kilauan rantai yang ada pada Khadeeja menyebabkan abang nekad menegur tadi. Dah besar sekarang.”
Lelaki itu terus merenung tubuhku. Tatkala itu baru aku perasan, aku tidak bertudung dan hanya memakai t-shirt putih yang jarang serta berseluar paras lutut.
“Masyaallah!” aku terus bingkas.
Mahu kembali ke kawasan gua kecil, tempat aku menukar pakaian tadi. Tetapi, tiba-tiba tanganku di tarik lembut.
“Eh, nak ke mana?”
“Saya nak tukar pakaian. Takkan awak nak ikut juga?”
Lelaki itu tergelak kecil. Mungkin baru sedar dengan renungan nakalnya yang mula merayap ke tubuhku yang kebasahan.
“Oh, ok. Abang tunggu Khadeeja di sini.”
Aku terus melangkah pantas. Setiba di gua, aku cepat-cepat menukar pakaian kering yang kutinggalkan di dalam gua tersebut.
Beberapa minit kemudian aku kembali ke tempat aku mandi tadi. Lelaki itu masih berada di situ. Duduk di atas batu-batu kecil di tepi tebing. Kakinya menjulur ke dalam anak sungai. Bajunya kering? Baru aku perasan, ketika dia terjun menyelamatkanku, dia tidak berbaju. Bermakna aku benar-benar memeluk tubuhnya yang tidak berbaju. Wajahku serasa bahang panas.
“Ehem.”
“Oh..abang tak sedar Khadeeja dah siap. Err..”
Dia merenungku. Lama. Gelisah dengan pandangannya, aku membetulkan tuala di kepala bagi menyembunyikan rambutku yang masih kebasahan.
“Kenapa? Ada yang tak kena ke?”
“Eh, tak ada apa-apa. Marilah duduk di sini. Dekat dengan abang. Ada sesuatu yang handak abang tunjukkan.”
Aku menghampiri lelaki itu. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya.
“Ini satu bahagian loket Khadeeja yang abang simpan dulu,” ujarnya sambil menghulurkan kepadaku loket yang berbentuk separuh hati.
Aku berkerut. Ohh!
“Ini loket Eja, hadiah daripada arwah mama.”
Wajah lelaki itu berubah. Ada riak keruh.
“Arwah? Mama Khadeeja dah meninggal?”
Aku mengangguk. Tiba-tiba terasa sayu bergentayang di dalam hati.
Perasaan rindu mula meresap ke dalam hati. Mama!
“Bila mama Khadeeja meninggal?”
“Macam mana awak dapat loket ni?”
Aku cuba mengubah topik perbualan kami. Tidak mahu membuka kisah silam yang aku sendiri tidak pernah mengingatinya. Selebihnya adalah untuk mengelak sakit di kepalaku berulang kembali.
“Err...Abang ambil daripada Khadeeja. Khadeeja dah lupa ya?”
“Entah, mungkin. Khadeeja ingatkan loket ni jatuh semasa Khadeeja datang ke sini sewaktu kecil dahulu.”
“Err..macam mana awak boleh kenal saya? Kita pernah jumpa?”
“Khadeeja tak ingat? Kita pernah sama-sama bermain di sini sewaktu Khadeeja kecil dahulu. Tak sangka dah besar pun Khadeeja masih suka mandi di sini.”
Aku cuba untuk mengingati perkara lalu. Tetapi fikiranku kosong. Tiada satu kenangan pun yang ada dalam fikiranku kini. Termasuklah peristiwa kematian mama. Kepalaku mula rasa berpinar-pinar. Ada sesuatu yang semakin menyengat di otakku. Peluh mula merenik di dahiku. Ya Allah! Penyakitku berulang lagi!
“Kenapa, Khadeeja? Wajah Khadeeja tiba-tiba nampak pucat?”
“Maafkan saya. Saya perlu balik sekarang.”
dalam fikiranku sekarang. Ubat tahan sakit yang kuletak dalam beg pakaianku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan