Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ5

Luqman sudah berubah. Dia sudah jarang dipanggil ke bilik Guru Disiplin. Maknanya, dia tidak terlibat dengan sebarang pergaduhan lagi. Pemakaiannya juga sudah semakin kemas. Perubahan yang semakin aku perasan adalah tingkahlakunya yang semakin baik terhadapku. Cara layanannya juga lain. Tiada lagi kata-kata berbaur ugutan. Tiada lagi kata-kata kesat yang dilemparkan setiap kali kami berbual. Hubungan persahabatan itu kekal begitu. Tiada siapa yang tahu melainkan Nadeera. Rakan-rakannya sendiri tidak mengetahui hubungan persahabatan ini. Aku sendiri tidak berminat untuk menguar-uarkan kepada orang lain. Tiada apa yang istimewa untuk diheboh atau dicanangkan. Bagiku persahabatan ini sama sahaja seperti hubunganku dengan lelaki lain. Aku juga tidak pernah menyentuh hubungan cintanya dengan Amy Maysara. Bagiku, itu hak peribadinya.
Loceng sekolah berbunyi nyaring, menandakan waktu belajar sudah bermula. Tiba-tiba kedengaran seperti kaca pecah berderai di atas lantai diiringi dengan suara riuh rendah di luar kelas. Semua memanjangkan leher memandang ke luar kelas. Tetapi tiada sesiapa pun yang berani keluar melihat apa yang berlaku di luar. Pahmi, ketua kelas ku memberanikan diri berjalan keluar kelas. Kebetulan sekarang adalah masa mata pelajaran Pengurusan Maklumat dan Cikgu Siti Arfah masih belum nampak. Beberapa ketika kemudian Pahmi masuk sambil berlari-lari anak.
“Kawan-kawan… Luqman…dia bergaduh dengan Azroyi kat tingkat atas,” jerit Pahmi tersekat-sekat. Kelasku riuh seketika. Masing-masing cuba membuat spekulasi dan andaian sendiri sebab musabab pergaduhan tersebut. Aku dan Nadeerah berpandangan sesama sendiri. Kenapa mereka bergaduh? Angin tak ada. Ribut tak ada, tiba-tiba bergaduh. Mustahil!
“Pahmi, kenapa mereka bergaduh tiba-tiba?” soal Mawarni.
“Aku tak pasti, tapi tadi bila aku tanya kat abang Rasy, dia cakap Azroyi tumbuk Luqman sebab Luqman tampar Amy Maysara.”
Sekali lagi kelas kami riuh, berdengung seperti sarang lebah.
“Kenapa pula Luqman tampar si ratu sorak tu?” soal Nadeera pula. Pelik juga. Amy Maysara tu kekasih Luqman.
“Abang Rasy cakap, si Amy tu mengutuk mak we baru Luqman. Luqman geram, terus tampar muka minah tu. Padanlah juga, mulut laser sangat.”
Kali ni kelas kami menjadi lebih riuh. Terjawablah sudah khabar angin tentang perpisahan antara Luqman dan Amy Maysara. Aku terus memandang rakan-rakan sekelasku yang semakin rancak bergosip dan membuat andaian sendiri. Tiba-tiba terasa bahuku ditampar. Aku tersentak dan menoleh ke sisi. Nadeera memandangku tajam. Seolah-olah aku penyebab pergaduhan pelajar tingkatan enam atas itu.
What?”
“Kau ada nak beritahu aku apa-apa ke Min?”
“Kau tuduh aku ke Nad?”
“Tak. Aku cuma tanya. Kau tahu tentang mereka?”
“Mereka? Siapa?”
“Tentang Amy dengan Luqman?”
Aku menggelengkan kepala. Aku faham maksud soalan Nadeerah itu. Hanya dia seorang sahaja yang tahu, aku suka pada Luqman. Tapi aku tidak seburuk itu untuk mencari pasal dengan gadis gedik seperti Amy. Aku bukannya suka merebut kekasih orang. Aku bukannya kemaruk cinta sehinggakan tidak pandai memilih yang mana baik, yang mana buruk. Aku bukannya seburuk itu sehingga tidak berhak memilih. Tetapi ada satu perasaan aneh yang sentiasa timbul tatkala aku mencuri pandang dirinya, walaupun dari jauh. Ada satu rasa yang sentiasa berbunga-bunga dalam diri. Namun, tidaklah sehingga menjadi seperti orang angau. Perasaan ini didorong pula dengan keinginan untuk belajar dan meminta sedikit kepandaian daripadanya. Ya, dia bijak dalam 3 subjek sains utama, biologi, kimia dan fizik. 3 mata pelajaran yang menjadi subjek core aku untuk peperiksaan SPM ini.
“Aku tak tahu. “
“Kau beritahu Luqman ke tentang apa yang kau dengar dalam tandas minggu lepas?”
Ish, minah ni macam penyiasat persendirian pula.
“Buat apa aku beritahu dia? Nak kena penyepak. Dia kan sayang sangat dengan Amy tu. Lagi pun, sepanjang minggu ini aku kan sibuk dengan program Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) tu. Mana ada masa nak berjumpa dengan dia?”
“Betul juga. Eh, tapi aku musykil lah, kenapa mereka bergaduh ya?”
Aku cuma mengangkat bahu. Malas masuk campur hal-hal menyakitkan mata, telinga dan juga hatiku. Kenapa pula aku sakit hati? Setiap kali aku melihat Amy bercakap atau memegang tangan Luqman, terasa seperti hatiku ditoreh-toreh. Tajam. Pedih. Takkan aku suka pada Luqman? Kenapa pula hatiku pilih Luqman? Samseng sekolah. Gengster kampung. Tapi kenapa Si Amy suka pada Luqman. Muka macam Amy tu, lebih layak bercinta dengan Azroyi, Ketua pelajar.
Ish! Kenapa lah aku bersusah payah memikirkan perkara remeh yang tak ada kena mengena dengan diriku. Biarkan aja lah.

Tiada ulasan: