Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ13

“Jasmin, ooo, Jasmin. Oi, minah, ni ada customer nak jumpa.”
Jerit Munir dari tingkat bawah. Hampir tersedak aku mendengar suaranya yang nyaring. Sambil mengurut-urut dada, aku meletak kembali mug berisi air coklat sejuk ke dalam peti sejuk.
“Kurang asam kau Moon! Tak boleh ke kau panggil aku elok-elok sikt. Dah la menjerit macam langsuir,” bebelku sebaik sahaja aku menghampirinya.
Dia tersengih cuma.
Aik, apahal mamat lembik ni? Sengih semacam jer.
“Hai, Min!”
Aku menoleh. Hah!
“Apa Abang Nain buat kat sini?” soalku separuh gugup.
Tidak menyangka ajakanku yang ala-ala ajakan ayam, betul-betul diambil kira. Baru semalam kami berjumpa di rumah Aunty Darlina, dan kini dia sudah berada di hadapanku.
“Saja. Kebetulan abang ada kerja dekat-dekat sini. Dah settle kerja, itu yang abang singgah sini. Min sibuk tak? Jom keluar makan.”
“Ha., er..Min tengah buat inventori kat stor. Sorry lah, abang Nain. Kerja Min banyak sangat sekarang.”
Wajah lelaki itu berubah kelat. Nampak seperti kecewa.
“Oh, ya ka? Hmm, tak ada rezekilah nak makan kat Kenny Rogers. Abang ingat nak belanja Min makan ayam panggang. Emm, tak apalah. Kalau macam tu, abang balik ke ofis sahaja. Jumpa lagi nanti ya.”
Kenny Rogers? Sedapnya! Tetapi lidahku kelu untuk menarik semula kata-kataku tadi. Aku hanya memerhati langkah Dzulkarnain keluar dari Muss Read Bookstore.
Tiba-tiba, pinggangku disiku keras. Aku mengaduh.
“Sakitlah, Moon!”
“Eh, sejak bila kau buat tugas aku?”
“Aku saja je, bagi alasan tu. Seganlah. Baru kenal semalam.”
“Bodohnya kau ni. Lelaki itu punyalah hensem, kau tolak pelawaannya. Kalau aku jadi kau, dah lama aku ikut.”
“Engkau tu Moon, semuanya kau nak rembat. Lagipun, aku malulah. Dia anak tan sri. Nanti, tak pasal-pasal kena protokol.”
“Ish, ish, protokol apa nya. Dia bukan anak raja. Manusia biasa macam kita juga. Dah, dah, pergi kejar dia. Kalau kau tak pergi makan dengan dia, aku potong fifty percent gaji kau bulan ni.”
“Mana aci.”
“Apa aci-aci. Kau nak cari aci, pergi India.”
“Dasyatnya kau Moon. Sampai macam tu sekali kau ugut aku.”
“Yelah, kau nak jadi anak dara tua ke sampai berkawan pun tak mahu. Tak payahlah kau nak tunggu si Luqman kau nak datang pujuk kau. Dia dah jadi jurutera terkenal dah sekarang ni.”
“Hei, apahal ke situ pula lari topiknya?”
“Alah, macam aku tak tahu. Kau tak payah nak sorok apa-apalah dari aku Min. Sudah, cepat pergi kejar dia, sebelum kau kena tinggal.”
Tubuhku di tolak kasar hingga ke pintu. Tiba-tiba, pintu kedai terbuka. Mujur aku tidak berlanggar dengan pelanggan yang baru masuk itu. Aku mendongak. Eh!
Dzulkarnain berdiri tegak di hadapanku.
“Err, abang ingat nak pujuk Min sekali lagi. Manalah tau, kot-kot Min berubah fikiran.”
Aku tersenyum. Pucuk dicita, ulam mendatang. Kalau dah dua kali rezeki mencari, patutkah aku menolak lagi?

Tiada ulasan: