Sewaktu aku melintasi kedai runcit Pak Ngah Hadi, kelihatan Luqman sedang melepak dengan kawan-kawannya. Aku memandang ke arahnya sekilas. Aku tersentak. Lelaki itu juga sedang memandang ke arahku. Aku menunduk sambil terus mempercepatkan langkahku.
“Min!”
Dia panggil aku? Perlukah aku berhenti. Tapi aku segan di hadapan kawan-kawannya. Tiada sesiapa yang tahu kami berkawan. Mustahil orang lain akan percaya persahabatan kami. Aku bukannya dikenali di sekolah.
“Min, tunggulah!”
Terasa seperti tanganku ditarik. Aku terdorong ke belakang. Mujur tak jatuh.
“Kenapa ni? Sakitlah!”
Marahku sambil mengusap-usap pergelangan tangan yang sedikit kemerahan.
“Orang panggil, buat-buat tak dengar. Padan muka!”
Aku mencebik. Aku memandang ke arahnya. Bibirnya lebam. Mungkin kesan pergaduhan pagi tadi.
“Nak pergi mana ni? Jalan macam tak cukup langkah.”
“Balik rumahlah. Dah petang. Awak tu tak ada kerjakah?”
Lelaki itu tersenyum.
“Tadi tak ada. Jadi, melepak dengan kawan-kawan kejap. Tapi sekarang dah ada.”
Aku melontar pandangan ke arah kedai Pak Ngah Hadi. Tiada lagi kawan-kawan yang bersamanya tadi. Mana mereka pergi? Aku tak perasan masa bila mereka beredar.
“Habis tu, pergilah buat kerja awak. Kenapa ikut saya?”
“Hmm..sebab ni lah kerja saya. Ikut awak.”
Ujarnya sambil tersengih. Huh! Menyibuk saja.
“Amy tak cemburu ke nampak awak dengan saya? Nanti tak pasal-pasal bertumbuk lagi. Kalau tak pun, Amy yang datang serang Min.”
Wajah lelaki itu berubah. Matanya tajam merenungku.
“Boleh tak kalau Min tak sebut nama dia? Kami dah putus. Dah tak ada apa-apa lagi.”
Jadi benarlah kata Pahmi pagi tadi. Cuma aku sahaja yang masih belum mahu menerima kenyataan itu selagi bukan dari mulutnya sendiri.
“Oo, ya ka? Kenapa? Min tak tahu pun.”
Soalku pura-pura tidak tahu punca Luqman putus kasih dengan Amy. Lelaki itu mengeluh sambil memandang ke hadapan.
“Dia cakap Luq dah berubah, tak macam dahulu lagi.”
Perlahan sahaja suaranya. Aku kah penyebab dia berubah?
“Dia keluar dengan orang lain...”
“Min tahu ke?”
Alamak, terlepas cakap. Cabulnya mulut kau, Min.
“Eh, tak. Min tanya Luq, dia keluar dengan lelaki lain ke?”
“Hmm. Dia keluar dengan Azroyi. Mereka dah lama bercinta belakang Luq.”
“Sebab tu ke Luq bertumbuk dengan Azroyi?”
“Min tahu?”
“Tu lebam di bibir, nak sorok kat mana? Lagipun, kelas Luq kan di tingkat atas. Satu tingkat di atas kelas Min. Semua orang dengar bunyi riuh di atas pagi tadi.”
Lelaki itu tunduk lagi. Kakinya menguis-nguis batu kecil yang ada di hujung kaki. Kami terdiam, lama. Terasa sedih pula melihat wajahnya yang sugul.
“Sebenarnya Luq tak kisah kalau Amy nak minta putus. Luq pun bukannya betul-betul bercinta dengannya. Dia sahaja yang asyik mencanang satu sekolah tentang hubungan kami. Tapi, ada sesuatu yang menyebabkan Luq tampar Amy.”
“Mulut Amy kan memang celupar. Takkan Luq tak tahu.”
“Itu Luq tak kisah. Tapi apa yang keluar dari mulut Amy ni menyebabkan Luq benar-benar marah. Tak tahu kenapa. Tiba-tiba Luq rasa seperti nak ganyang sahaja mulut perempuan tu.”
“Sampai macam tu sekali. Sebab apa?”
“Sebab Min.”
Aku terkejut mendengarnya.
“Min? Apa kena-mengena pula Min dalam hal ni?” soalku gugup.
“Min tak tahu ke? Pahmi tak report?”
Aku menggelengkan kepala. Lelaki itu tersenyum tiba-tiba. Pelik!
“Kalau macam tu lain kali la saya beritahu awak. Dah lewat petang ni, jom kita balik.”
Dia memang suka menukar topik.
“Kita?”
“Yelah, saya pun nak balik rumah juga. Bukannya awak seorang sahaja yang ada rumah.”
“Jalan kaki? Mana motorsikal awak?”
“Ada kat bengkel. Rosak.”
Kami meneruskan melangkah bersama-sama. Kali pertama aku berjalan-jalan di sampingnya. Ada satu perasaan halus berkumpul di hatiku. Bahagianya. Aku tersenyum sendiri.
“Eh, apa senyum-senyum ni? Apa yang Min sedang fikir?”
“Hah! Err, tak ada apa-apa lah.”
“Err, malam ni Min pergi surau?
Kenapa pula tiba-tiba tanya aku tentang nak pergi ke surau atau tidak. Dia nak ke surau ke? Mustahil lelaki sepertinya nak jejak kaki ke surau.
“Kalau Ayah long tak sihat lagi, Min pergilah. Temankan Ummi. Kenapa?”
“Malam ni kita jumpa kat surau ya.”
Aku tersentak mendengar kata-katanya. Langkahku terhenti. Lelaki itu memandangku kehairanan.
“Kenapa?”
“Eh, awak ni nak ajak saya dating kat surau ke? Buang tabiat?”
Ujarku sambil menjegilkan mata.
“Eh, tak! Bukan, maksud saya, malam ni saya nak ke surau juga. Saya harap dapat berjumpa dengan awak.”
“Tak ada kerja nak jumpa dengan awak. Lagipun, ni kan dah jumpa. Nak jumpa apa lagi?”
“Saja nak jumpa. Nanti rindu pula.”
Langkahku terhenti lagi. Mujur kami dah sampai di hadapan rumah Ayah Long. Lelaki itu terus melangkah meninggalkan ku tanpa menoleh ke arahku lagi. Betulkah dengan apa yang aku dengar?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan