Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ7

Hatiku berdebar-debar. Di celah-celah sekumpulan jemaah pada malam itu, aku masih dapat melihat susuk tubuh lelaki itu dari kejauhan. Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang menjadikan ku untuk lebih bersemangat pada malam itu. Tiba-tiba terasa satu cubitan hinggap di lenganku. Aku mengaduh.
“Dok tengok-tengok apa? Cepat sikit jalan tu. Nanti azan, tak sempat nak solat sunat tahiyatul masjid.”
Ummi menjegilkan matanya kepada ku. Aku tersengih seketika. Langkahku dipercepat, membontoti langkah Ummi yang semakin laju. Beberapa ketika kemudian kedengaran azan maghrib berkumandang, merdu dan mendayu-dayu. Suara siapakah ini? Takkan Pak Andak Jalil kot? Lain benar alunan suaranya. Selesai Iqamat, kesemua jemaah berdiri membuat barisan saf untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Usai solat maghrib dan bacaan doa, aku terus menghampiri Ummi yang berada di barisan saf depan.
“Ummi, Min nak ke bilik air. Nak ambil wuduk lain. Terbatal tadi,” bisikku ke telinganya.
Dia cuma mengangguk sambil meneruskan wiridnya sementara menunggu waktu Isyak. Aku bergegas menuruni tangga surau menuju ke bilik air. Menyangkut telekung di dinding dan membuka pili paip. Sewaktu baru mengenakan air pada tangan, kedengaran seperti orang berdehem di sebelah bilik air lelaki.
Lelaki tu ada di bilik air sebelah. Aku terus menyambung semula mengambil wuduk yang terhenti seketika sewaktu terdengar suara orang.
“Hah, Man! Abah kamu tak datang malam ni?”
Luqman?
“Tak, Wan Chor. Dia ada baca kitab kat kampung sebelah malam ni.”
“Hmm..boleh tahan jugak suara kau tadi. Sekali sekala bagus juga kalau ada anak-anak muda yang mengalunkan azan. Orang-orang tua ni, dah kurang merdunya. Maklumlah, nafas pendek dek kerana lelah dan kepenatan. Orang muda macam kamu ni elok selalu datang ke surau. Asyik dok melepak sahaja kat tembok tu, tak berfaedah pun.”
“Insyallah, Wan Chor. ”
Aku terus mengambil wuduk. Menyudahi basuhan kali ketiga pada kaki kiri dan terus menggapai telekung pada penyangkut di dinding. Sewaktu sedang melangkah longkang kecil yang memisahkan antara ruang mengambil wuduk dan tandas, tak semena-mena kakiku tersadung selipar yang berselerakan di situ. Tak sempat mengapai tiang surau bersebelahan, aku terus terduduk di lantai.
“Aduh!” Habis, telekungku kebasahan, baju kurung yang kupakai turut basah. Tiba-tiba pintu yang menjadi pemisah antara bilik air lelaki dan bilik air perempuan terkuak.
“Kenapa?” Tersembul wajah Wan Chor dan Luqman di sebalik pintu. Kehairanan melihat aku yang terkial-kial untuk bangun berdiri.
“Jasmin? Kenapa ni?” Wan Chor terus menghampiriku. Air mataku dah mula berjuraian. Sakitnya punggung dan pergelangan kaki
“Jatuh...tersepak selipar.”jawabku dalam nada sedu.
Wan chor menarik kaki kananku yang terlipat. Aku mengerang kesakitan.
“Terseliuh ni Wan Chor. Tengok ni dah bengkak.”
Mereka berpandangan seketika. Aku cuba mengesat air mata yang semakin berjuraian. Tangan kananku menekap pada kaki yang mula membiru.
“Jasmin! Kenapa?” tiba-tiba serasa seseorang membayangi diriku. Ada tangan menyentuh bahuku. Aku menoleh.
“Ummi...sakit...” aku terus memeluk Mak Long.
“Macam ni lah, biar Man ubatkan. Boleh tak Wan Chor carikan kain dan kayu atau papan untuk dibuat lapik kaki Jasmin.”
Wan Chor mengangguk seraya bingkas ke depan surau.
“Apa..awak nak ubatkan? Jangan..Min tak nak.”
Aku tahu bapanya boleh mengubat orang terseliuh. Tapi aku betul-betul tidak mengetahui kebolehannya.
“Min, Man nak berubatkan Min. Biarkanlah. Kalau dibiarkan lama-lama, lagi susah. Masuk angin,” pujuk Ummi.
Aku menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak setuju.
“Awak...Saya nak bantu awak.”
“Tak mahu...awak pandai ke? Saya tak nak. Ummi, sakit...”
“Awak....Jasmin Alia...dengar sini. Kalau saya tak tolong awak sekarang. Mungkin kaki awak akan jadi lebih teruk. Percayalah pada saya. Saya nak tolong awak.”
Aku memandang muka Mak Long. Mak long menepuk-nepuk belakangku sambil tersenyum kelat.
“Min, tahan sikit ya.”
Aku menyembam mukaku pada dada Ummi, apabila terasa tangan Luqman menyentuh pergelangan kakiku.
“Bismillahirrahmanirohim...”
Prakk..
Aku menjerit kesakitan. Mataku terpejam. Tanganku kuat menggenggam tubuh Ummi. Tuhan sahaja yang mengetahui kesakitan yang ku tanggung ketika itu.
“Min..Min, cuba gerakkan kaki tu.”
“Awak nak bunuh saya ke?” jerkahku marah.
Aku menjegilkan mataku yang masih berair. Luqman terpempan, tetapi kemudiannya tersenyum.
“Jasmin, tak baik cakap macam tu.”
“Dia bukan nak mengubat Ummi, nak bagi lagi sakit ada lah.”
“Ish...jangan jeritlah. Surau ni. Ganggu orang dok solat. Cuba ikut apa yang Man suruh. Gerakkan kaki yang terseliuh tu.”
Aku mengetap bibir. Ummi ni pun satu. Suka pula menyebelahi Luqman. Sebab tu dia boleh menyakitkan ku sesuka hatinya. Aku cuba menggerak-gerakkan kaki kananku. Eh! Dah tak sakit?
“Macam mana?”
Aku memandang Ummi dan kemudiannya Luqman yang masih mencangkung di hadapanku.
“Sakit lagi?” soal Ummi kerisauan.
Aku menggelengkan kepala.
“Syukur, alhamdulillah.”
Luqman tersenyum, puas. Ummi juga menarik nafas lega. Wan Chor terkocoh-kocoh datang bersama barang-barang yang diminta tadi.
“Maaflah, lambat sikit. Wan Chor cari barang-barang ni dalam stor dan selepas tu pergi beritahu Imam Hj Hassan tentang hal ini.”
Beliau menghulurkan barang-barang tersebut kepada Luqman. Matanya menjurus ke kaki ku.
“Eh dah kurang bengkak ni. Alhamdulillah, pandai juga kau, Man.”
“Kenapa perlu balut?” soalku kehairanan.
Tangan Luqman pantas menguatkan ikatan kayu dengan kain perca.
“Tak nak bagi urat yang terseliuh itu, terkehel lagi. Untuk sehari dua ni, Min kena berehat dan jangan banyak bergerak. Nanti terseliuh balik, susah.”
“Hmm..eloklah tu. Nasib baik dah cuti sekolah.”
“Eh,Hajah datang tadi dengan apa?
“Jalan kaki, kenapa Wan Chor?”
“Macam mana dengan Min ni?”
“Tak pa, long tunggu sini, Man balik rumah sekejap, pinjam kereta abah.”
“Eh, tak payahlah Man! Long bagitau Ayah Long kau suruh datang ambil.”
“Hmm..tak payahlah, Hajah. Jauh Hajah nak patah pergi balik. Lagipun Haji kan tak sihat. Baik, bagi si Luqman ni hantar.”
“Emm..baiklah. Nak solat isyak berjemaah pun dah tak sempat. Lagipun, telekung si Jasmin ni pun dah kotor dan basah.”
“Awak, tunggu sekejap ya. Nanti saya balik ambil kereta.”
Aku mengangguk perlahan. Tidak mahu membantah lagi. Selebihnya masih malu-malu kerana tidak mempercayainya tadi. Ketika itu, kedengaran imam sedang membaca doa, menandakan solat jemaah sudah pun selesai.
Lima minit kemudian, proton iswara coklat masuk ke perkarangan surau. Luqman keluar dan membuka pintu belakang. Tatkala itu, para jemaah mula keluar dari surau.
“Hajah! Macam mana dengan kaki Jasmin?” soal Tok Imam Hj Hassan sambil menghampiri kami.
“Tak ada apa, tok. Cuma pergelangan kaki saja yang terseliuh. Dah kurang sikit, agaknya. Si Luqman dah tolong betulkan. “
Tok Imam menganggukkan kepalanya.
Luqman menghampiri kami.
“Mari long.”
“Luqman, tolong angkat Jasmin. Long tak mahu dia jalan. Risau kakinya terseliuh balik.”
Hah! Dukung? Biar betul Ummi ni. Takkan dia nak biar si Luqman ni dukung aku. Malulah. Semua orang kampung akan nampak kami. Sedangkan masih ramai jemaah di perkarangan surau yang belum pulang. Aku memandang Ummi. Meminta kepastian. Ummi buat-buat tak nampak renunganku. Luqman pula hanya tersengih sahaja.
“Awak, saya minta kebenaran nak dukung awak. Boleh tak?” soal Luqman perlahan di telingaku.
Aku mengangguk lemah. Tak daya lagi bertegang lidah dengannya ataupun Ummi. Dengan sekali nafas, Luqman mencepung tubuhku. Membawaku menuju ke kereta. Tatkala itu juga kedengaran beberapa suara yang menegur ibu saudaraku. Ummi terhenti seketika. Bercakap sesuatu dengan beberapa orang jemaah perempuan yang berhampiran dengannya. Luqman meletakku di tempat duduk belakang, berhati-hati.
“Terima kasih.” Ujarku lirih. Luqman tersenyum.
“Sama-sama. Awak ni ringan sangat lah, Min.” ujarnya sebelum berlalu ke tempat duduk hadapan.
Terasa rona merah menyerbu ke wajahku. Lelaki ini memang sengaja nak mengenakan aku.

Tiada ulasan: