Aku mengeluh berat. Lega rasanya apabila dapat meletakkan kepala ku di atas bantal. Penatnya. Tatkala itu terkenang kembali kejadian di rumah Abang Nain tadi.
“Kenapa nampak macam letih jer ni?”
Soal Puan Sri Hashimah sambil tangannya menyentuh pipiku. Aku tersengih. Cepat-cepat menolongnya mengangkat pinggan lauk menuju ke meja makan.
“Tak adalah mummy. Min biasa jer.”
“Mana tak letih, mummy. Petang keluar dating. Malam datang dinner sini pulak.”
Sampuk Abang Nain dari belakang. Aku memandang ke arah Abang Nain. Dia tau ke? Abang Nain merenungku tajam.
Selepas makan malam bersama keluarganya, Abang Nain menghantar aku balik.
“Min ada nak beritahu abang sesuatu ke?”
Aku menoleh ke sisi. Lelaki itu mengerling ke arahku seketika.
“Beritahu apa? Tentang petang tadi? Min rasa abang Nain dah tahu.”
“Apa hubungan Min dengan Luqman?”
“Apa maksud Abang Nain?”
“Min bercinta dengannya?”
“Err..kenapa tanya Min macam tu?”
“Habis tu? Min nak abang tanya soalan apa?”
Aku mengeluh.
“Luqman tu senior semasa Min bersekolah di kampung dahulu. Dia sekampung dengan Min. Kami hanya kawan. Tak lebih dari itu. Kenapa? Abang Nain marah ke Min keluar dengan dia?”
Atau dalam erti kata lain, aku sendiri pun tak tahu apa hubunganku dengan Luqman. Adakah hanya sebagai kawan atau teman tapi mesra sahaja?
Lelaki itu tertawa.
“Tak marah. Abang mana boleh marahkan Min. Abang cuma cemburu sahaja.”
Aku tersentak.
“Kenapa pula abang nak cemburu? Min bukannya kekasih abang. Kita berkawan sahaja kan?”
Soalku kehairanan. Ketika itu kami sudah sampai di perkarangan rumahku. Lelaki itu memberhentikan keretanya di hadapan rumah. Sebelum keluar, lelaki itu sempat menarik tanganku ke dadanya.
“Kalau abang cakap, abang ada hati pada Min, suka tak? Pertama kali kita berjumpa di rumah Aunty Darlyna, abang dah jatuh cinta pada Min. Macam-macam abang buat untuk tarik perhatian Min. Dan mummy adalah kelemahan Min. Apa sahaja permintaan abang dengan bantuan mummy, Min akan turuti. Tapi abang tak mahu berterusan begini. Abang nak Min betul-betul sukakan abang kerana cinta abang, bukan kerana simpati mummy. Abang dah lama cinta kan Min. Min sahaja yang tak pernah perasan.”
Aku kelu. Terkebil-kebil aku melihat wajahnya. Kenapa aku tak merasa apa-apa? Hatiku sejuk. Dingin seperti ais. Macam tak ada perasaan.
“Jasmin, say something.”
“Min...min..tak tahu nak cakap apa.”
“It’s ok. Just take your time. Abang tak akan paksa kalau Min tak suka. Tapi abang berharap sangat Min tidak menghampakan abang.”
Bagaimana dengan Luqman? Kenapa bukan Luqman yang berterus terang tentang perasaannya pada ku? Kenapa mesti Dzulkarnain? Aku terus menekup bantal peluk ke muka. Apa yang harus aku buat? Lelaki yang aku dambakan cintanya tidak pernah mempunyai perasaan terhadapku. Apa lagi yang kau harapkan Min? Tiba-tiba aku terperasan sesuatu di pergelangan tanganku. Rantai tangan emas. Hadiah daripada Luqman.
Ketika itu, aku teringat tentang kisahku dengan Luqman petang tadi.
“Kenapa nampak macam susah hati je ni? Dari tadi, Luq perhati asyik dok tengok jam sahaja. Ada hal ke?”
Aku terus menggelengkan kepala.
“Jasmin..”
“Luq nak ke mana lagi? Boleh kita balik sekarang?”
Sekali lagi aku melihat jam di tangan. Pukul 6.30 petang.
“Luq nak beli sesuatu untuk Min. Selepas tu, baru kita balik ya.”
Sesuatu yang dimaksudkan Luqman adalah rantai tangan ini.
“Kenapa beli Min rantai tangan ni?”
Lelaki itu tertawa kecil. Senang melihat rantai tangan pemberiannya ada di tanganku.
“Min akan faham nanti.”
Min tak faham. Apa maksud Luqman? Kenapa dia suka berteka-teki? Babah...tolong Min! Rintihku lagi dalam tidur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan