“Eh, Jasmin nak ke mana ni?”
Babah memandangku kehairanan. Aku tersenyum. Babah baru pulang daripada surau tatkala aku berjalan menuruni tangga. Aku tahu, dia tahu rancanganku malam ni. Dia sengaja berpura-pura tidak tahu apa-apa.
“Min nak ke Festival Kesenian Islam Antarabangsa. Min kan dah beritahu babah petang tadi. Takkan babah dah lupa?”
Babah tergelak kecil.
“Hmm, cantik anak babah pakai baju kebaya. Nampak kewanitaan.”
Aku diperli lagi. Aku tahu, aku jarang berbaju kurung atau kebaya.
“Alah, babah ni sengaja nak usik Nina. Habis tu selama ni, Min tak cantik kah?”
Babah tertawa.
“Cantik. Cuma malam ni nampak lain. Keluar dengan Nain ke?”
Aku terdiam sambil menjeling tajam ke arah babah. Babah ketawa lagi.
“Tapi, babah nak ke rumah Aunty Darlyna malam ni.”
Aku mengerutkan dahi. Kenapa baru nak beritahu? Gerutu hatiku.
“Min kena ikut ke? Tapi Min dah janji dengan Abang Nain. Dah banyak kali dia ajak keluar tapi Min tolak,” ujarku dalam keadaan serba salah.
Babah tersenyum.
“Kenapa?”
Babah tertawa.
“Aha..pecah dah rahsianya. Patutlah beriya-iya Nain tanya petua kat babah. Anak babah ni jual mahal sangat rupanya.”
Hah! Apa ni?
“Babah ni..”
Aku hampir-hampir mencubit lengannya apabila tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta. Aku pantas membuka pintu. Kelihatan kereta terpangkir di hadapan pintu pagar rumah. Abang Nain melambai-lambai dari dalam kereta.
“Ajaklah Nain masuk dulu.”
Aku menoleh ke arah babah yang telah melabuhkan punggungnya di atas sofa ruang tamu.
“Em..tak perlulah. Lagipun dah lewat. Min pergi dulu ya.”
Sambil membetulkan tudung kepala, aku bergegas menyalami tangan babah. Dengan pantas juga aku menuju ke luar dan menyarungkan sepatu yang berada di hadapan pintu rumah.
“Maaf Abang Nain lambat. Abang ke rumah Yong Alia tadi, hantar barang,” Nain bersuara tatkala aku duduk di sebelahnya.
“Emm, tak apa. Min pun tunggu babah balik dari surau dulu. Ada ceramah katanya.”
Abang Nain tersenyum. Sepanjang perjalanan aku mula perasan yang dia asyik menoleh ke arahku.
“Napa Abang Nain pandang-pandang Min? Ada yang tak kena ke?”
“Ha..err..tak. Min nampak lain malam ni. Cantik.”
“Abang Nain ni pun sama macam babah. Abis tu selama ni Min tak cantik ke?”
Lelaki itu tertawa.
“Bukan macam tu. Maksud abang, bila Min pakai kebaya tu, ciri-ciri kewanitaan Min lebih nampak menyerlah. Selalunya abang nampak Min berseluar dan tshirt sahaja.”
Ughh..malu. Aku terus mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Babah pun cakap perkara yang sama.
“Lagi satu, Min perasan tak?”
“Apa?”
“Warna baju kita sama. Bagai berjanji pula. Macam pasangan secocok.”
Aku memandang Abang Nain di sebelahku. Tatkala itu juga aku baru perasan Abang Nain juga memakai baju melayu berwarna merah hati. Sama seperti warna kebayaku. Huh!
Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya.
Penulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12. Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.
Asyik aku membaca satu-persatu kenyataan yang terlekat di dinding. Beberapa ketika kemudian aku beralih pula pada tulisan khat di sebelahnya yang tertulis hadis nabi.
Daripada Anas bin Malik .a., sabda Rasulullah S.A.W., maksudnya :
“Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Hibban dan al-Baihaqi
“Ini Khat Thuluth, bemaksud satu pertiga. Juga dikenali sebagai Khat Arab kerana peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi. Tapi ia jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah. Cara menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya di antara 2 hingga 3 mm.”
Aku menoleh ke arah empunya suara di sebelah. Seorang lelaki lengkap berpakaian baju Melayu rona hijau pucuk pisang leka memandang ke arah lukisan yang aku belek tadi. Aku mengerutkan dahi.
“Maaf...”
Merasa diri diperhatikan, lelaki itu menoleh wajahnya ke arahku.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawabku gugup.
Luqman!
Aku terpempan seketika. Lelaki itu tersenyum memandangku.
“Tak sangka, Luq dapat jumpa Min di sini.”
Dia bersuara lagi. Aku menoleh ke belakang. Bayang Abang Nain sudah hilang entah ke mana.
“Dah lama tak jumpa. Luq hampir-hampir tak kenal tadi. Min dah besar sekarang dan... makin cantik.”
Serasa darah menyerbu ke wajahku. 12 tahun terpisah, tetapi wajahnya tidak banyak berubah. Cuma perwatakannya nampak lebih matang dan sopan.
“Luq! Bila Luq balik sini?”” Terasa bergetar bila bibirku menyebut namanya.
“Dah setahun. Cukuplah 5 tahun belajar dan 6 tahun bekerja di luar negara. Ambil pengalaman. Sekarang nak pula merasa bekerja di negara sendiri. Min dah tak tinggal di kampung ke?”
Matanya lembut merenungku. Aku gugup seketika.
“Jasmin, di sini rupanya. Abang Nain ingatkan dah hilang tadi. Itulah, Abang suruh pegang tangan tak nak. Awak tu dah la kecil molek, kalau hilang di khalayak ramai ni susah Abang nak cari. ”
Aku terpempan. Tiba-tiba Dzulkarnain datang, entah dari arah mana.
“Eh, siapa ni? Kawan?” tanya Abang Nain sambil memandang kami berdua.
“Er, Abang Nain kenalkan ini Luqman. Luq ini Nain.” Mereka bersalaman.
“Dzulkarnain. Eh, awak ni...
“Mohd Luqman Hakeem, Encik Dzulkarnain.”
“Oh, ya. Saya ingat. Awak jurutera yang baru di Germuda Holdings. Tak sangka kita berjumpa lagi. Seorang?”
Terkelip-kelip aku melihat kedua-dua lelaki itu. Mereka bekerja dalam syarikat yang sama? Tatkala itu baru aku ingat tentang artikel yang aku baca beberapa minggu yang lalu.
“Err, tak. Saya bersama Ferisha, setiausaha Tan Sri.”
Jawabnya sambil mengerling ke arahku. Tatkala itu kelihatan seorang gadis berpakaian jubah berjalan menghampiri kami.
“Encik Dzulkarnain. Tak sangka dapat berjumpa di sini.”
Aku memandang ke arah wanita itu. Cantik dan bergaya.
“Encik Dzulkarnain tak nak perkenalkan ke teman wanita encik ni?”
Aku tersentak. Teman wanita? Aku memandang ke arah Abang Nain. Dalam masa yang sama aku terperasan Luqman memandangku tajam. Abang Nain tertawa.
“You tak kenal ke? Ini lah anak Tuan Haji Ilham Iskandar.”
“Oh, I baru ingat. Kita pernah jumpa di ruah Puan Darlyna. Apa khabar?”
Wanita itu menghulurkan tangannya.
“Baik.”
Aku menyambut salamnya sambil tersenyum nipis.
“Well, I think we should go now. Luqman, shall we?”
Wanita itu menoleh ke arah Luqman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Luqman sedikit tersentak.
“Oh, yeah. Jumpa lagi Encik Dzulkarnain.”
“Ya, jumpa lagi nanti, Encik Luqman.”
Abang Nain dan Luqman bersalaman sekali lagi.
“Sure. Bye, Jasmin.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan