Khamis, 26 Ogos 2010

DCJ1

“Bodoh! Kan aku dah cakap jangan percaya cakap si Arun tu?”
Aku tersentak. Langkahku terhenti. Itu suara Luqman. Kedengaran bunyi seperti orang sedang mengerang kesakitan. Aku cepat-cepat menyembunyikan tubuhku di belakang tangga. Sesekali aku menjenguk ke di sebalik dinding. Kelihatan Luqman dan beberapa orang rakannya sedang mengelilingi seorang pelajar lelaki yang sudah terduduk di tanah. Tangannya menekan-nekan perut. Mungkin baru lepas kena tumbuk. Timbul perasaan menyesal dalam hati kerana melalui jalan pintas itu menuju keluar pintu pagar sekolah. Aku tidak menyangka akan bertembung dengan kumpulannya di belakang blok sekolah yang baru siap dibina.
“Kau tahu tak barang tu mahal? Susah nak dapat sekarang ni. Kenapa kau mudah sangat percaya cakap dia?”
“Arun cakap harga dia ambil tu paling tinggi,” tingkah pelajar tersebut sambil terbatuk-batuk.
“Ish! Menjawab!”
Serentak itu juga sebiji tumbukan mengena wajah pelajar itu. Pelajar tersebut tersembam ke tanah. Darah dari mulutnya tersembur keluar, memercik ke sekelilingnya. Aku terus menutup wajahku dengan kedua-dua belah tanganku. Tak sanggup melihat pergaduhan tersebut. Lebih-lebih lagi melihat darah. Aku takut darah. Namun tanpa disangka-sangka, tiba-tiba tanganku tersentuh sebatang besi yang berada di tepi tangga itu. Berdentang besi itu jatuh ke lantai tanpa sempat aku menahannya lagi. Habis lah aku! Pasti selepas ini aku akan menjadi sasaran konco-konco Luqman.
“Siapa tu?”
Aku terus mendiamkan diri. Tangan dan kakiku mula terasa seram sejuk. Matilah aku kali ni. Aku terus terduduk di lantai tangga. Tak mampu untuk bergerak ke mana-mana lagi. Kedengaran derapan tapak kaki menghampiri tempat persembunyianku. Seketika kemudian terasa seperti diriku dibayangi seseorang. Aku mendongak. Luqman! Lelaki itu itu nampak agak terkejut. Namun dia berpaling dan berjalan semula menghampiri rakan-rakannya.
“Siapa, Luq?”
“Tak ada sesiapa. Cuma kucing.”
“Oo, aku ingatkan orang tadi.”
“Vim, Hem, kau orang berdua bawa Pit balik. Jangan lupa tuam lebamnya tu. Pit, aku harap selepas ni kau belajar daripada kesilapan.”
Seketika kemudian, kedengaran tapak manusia semakin menjauh pergi. Mungkin Luqman dan konco-konco dia sudah pergi. Aku menguatkan semangatku untuk berdiri. Sambil mengibas-ngibas belakang baju kurung sekolahku yang sedikit kotor, aku menunduk mengutip buku-buku yang bertaburan di lantai tadi.
“Awak nak ke mana? Hal kita berdua masih belum selesai?”
Sekali lagi aku terkejut. Lelaki itu sudah berdiri di belakangku sambil memegang beg sekolahku. Dia terus menarik tangan dan mengheretku menuju ke tepi kolam ikan yang terdapat dalam taman sekolah berhampiran blok baru tersebut. Aku mengaduh. Pergelangan aku sakit ditarik akibat genggamannya yang erat.
“Lepaskan, Min. Sakit lah!”
Lelaki itu menoleh. Merenung aku tajam. Aku tertunduk. Bagaikan seorang pesalah.
“Apa Min buat kat sini?”
“Min nak balik lah ni.”
“Guna jalan ni?”
“Ini kan jalan pintas ke luar sekolah. Lagipun dah lewat petang, Min malas nak pusing padang guna pintu depan,” terangku panjang lebar.
Lelaki itu terus memandangku dengan pandangan yang cuak.
“Jangan risau, Min tak dengar dan tak nampak apa-apa pun. Min akan tutup mulut.”
Lelaki itu tersenyum.
“Kenapa? Takut?” gertaknya sambil merapatkan tubuhnya denganku.
Aku memandang semula ke arah lelaki itu. Apa yang dia nak buat padaku?
“Luq tak percayakan Min? Apa Luq nak Min buat?”
Dia tersenyum nakal. Aku mula cuak dengan sikapnya yang sukar ditelah.
“Luq cuma akan percaya kalau Min mahu temankan Luq, bila-bila masa Luq minta. Boleh?”
Itu sahaja kah? Ingatkan apa tadi. Aku menghela nafas lega.
“Min ada pilihan ke?” Soalku kembali, sengaja memancing kesabarannya.
Lelaki itu merenungku lagi. Tajam.
Ada. Kalau Min tolak, Luq akan sebarkan cerita Min sedang berdating dengan Pit di belakang blok baru sekolah.”
Aku tersentak. Mati aku kalau satu sekolah tahu hal ini. Mahu berbirat tubuhku kalau berita tersebut sampai ke telinga Ayah Long.
“Luq ni gila ke? Luq ingat orang akan percaya kalau mereka lihat wajah Pit yang lebam tu?”
“Luq cakap la, yang kami tumbuk Pit sebab tangannya sudah meraba ke tubuh Min.”
Sampai macam tu sekali. Aku memandang wajahnya lebih lama. Tak nampak seperti dia bermain-main dengan kata-katanya.
“Jahatnya!” Jeritku sambil menumbuk dada Luqman.
Tetapi tangan lelaki itu lagi pantas dariku. Serentak itu juga dia menarik pinggangku rapat ke tubuhnya. Wah! Melampau sungguh! Pertama kali aku dipeluk oleh lelaki selain babah.
“Luqman! Lepaskan Min!”
Aku cuba untuk meronta. Tetapi gagal. Pelukannya semakin erat sehingga aku terasa seperti sesak nafas. Pasti sekiranya dia melepaskan rangkulannya selepas ini aku akan jatuh terduduk semula. Jantungku juga semakin laju berdegup. Tak guna aku meronta-ronta. Aku tak akan berjaya melepaskan diri daripadanya. Akhirnya aku mengalah. Membiarkan dia terus memeluk pinggangku. Lelaki itu terus tertawa.
“Bagaimana?”
Aku mendongak memandang wajahnya. Terasa desah nafasnya menghembus ke wajahku. Aku menghela nafas panjang.
“Bila?”
Senyuman lelaki itu semakin lebar.

Tiada ulasan: