Aku mengalih tubuhku ke sebelah kanan. Serasa nafas kasar menghembus ke wajahku. Aku membuka mata seluas-luasnya. Terasa rerambut menyucuk mataku. Aku menepis dan tingkahlakuku menyebabkan sesusuk tubuh bingkas. Aku terjerit kecil.
“Naqeeb!”
Terkejut aku melihat Naqeeb berada di hadapanku sekarang. Aku bingkas menarik tuala yang berada di hujung katil dan terus menutup kepalaku yang terdedah.
“Eja dah jaga?”
“Apa awak buat kat sini? Bila awak sampai?”
“Semalam. Abang datang jenguk Eja. Kan abang dah janji hari tu. “
“Janji? Bila? Macam mana.. macam mana awak masuk bilik ni?”
“Bilik tak berkunci pun. Abang saja masuk. Niat nak kejutkan Eja. Tapi bila tengok Eja tidur nyenyak sangat, kesian pula nak kejutkan,” terangnya panjang lebar.
Aku mengeluh.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Kenapa Eja mengeluh?”
Aku membetulkan kedudukanku di hujung kepala katil. Memberi ruang padanya untuk duduk di sebelahku. Aku meraup wajah.
“Entahlah. Sehari dua ni, dada rasa macam berat. Seperti ada tekanan. Berat sangat. Kepala pun kerap sakit.”
Lancar sahaja lidahku menceritakan masalah yang dihadapi.
“Eja stress. Banyak sangat fikir. Cuba rileks. Bukannya ada di bandar. Kata cuti. Kenapa nak fikirkan masalah-masalah lain?”
Aku menoleh. Memandang wajahnya yang agak sembap. Tergaris keletihan pada wajahnya.
“Awak tak kerja ke?”
“Abang cuti. Kan hari tu abang dah beritahu. Dah lupa?”
Aku mengeluh lagi.
“Agaknya. Pukul berapa sekarang?”
“5.30 pagi.”
“Ohh.. kenapa tidur kat sini? Kenapa tak tidur di bilik awak?”
“Semasa abang nak kejutkan Eja semalam, Eja meracau-racau, seperti bercakap tentang sesuatu. Abang risau nak biarkan Eja tidur seorang diri. Sebab tu abang tidur kat tepi katil ni.”
“Meracau?”
Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Ya. Wan Nyah yang suruh abang temankan Eja. Katanya, Eja kerap meracau ketika tidur dalam seminggu ni. Kenapa?”
Aku menggeleng kepala Cuma. Tidak tahu jawapan kepada persoalannya. Aku sendiri tidak sedar dan tidak tahu apa yang aku racaukan.
“Mungkin letih sangat kot. Sebab tu sampai terbawa-bawa dalam mimpi,” ujarku perlahan.
“Atau Eja masih memikirkan tarikh perkahwinan kita?”
Aku tersentak seraya memandang ke arah lelaki itu.
“Eja, rasa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berbincang tentang hal itu.”
“Mak sudah bertanyakan hal kita. Lagipun dah setahun lebih usia pertunangan kita. Eja tak terasa ke hubungan ini terlalu lama?”
Kenapa baru sekarang dia menyedarinya? Oh, ya. Manakan nak sedar kalau diri terlalu sibuk dengan wanita lain. Langsung tidak pernah memikirkan diri yang sudah bertunang. Tiba-tiba aku rasa seperti meluat dengan persoalan yang dibangkitkannya.
“Awak risaukan hubungan kita hanya kerana dengan persoalan daripada mak? Habis tu, sebelum-sebelum ni, takkan mak tak pernah bertanya? Sebelum-sebelum ni, apa jawapan abang padanya?”
“Abang nak kita ikatkan perhubungan kita dengan perkahwinan. Kalau boleh secepat yang mungkin.”
What? Lelaki ini dah tak betul ke? Atau aku yang bermimpi di subuh hari? Dahulu minta ditangguhkan. Sekarang minta dipercepatkan pula.
“Awak ke yang nak kita kahwin cepat? Atau mak yang suruh?”
Tajam soalanku. Setajam pandangannya yang menikam wajahku.
“Apa maksud Eja?”
“Eja tak mahu kita kahwin hanya kerana mak awak yang memaksa. Eja beri awak ruang untuk kita mengenali satu sama lain. Tapi apa yang Eja nampak, awak menggunakan ruang itu untuk haluan hidup awak yang berbeza. Bukan untuk bersama Eja.”
“Aa..Apa maksud Eja? Abang tak faham.”
“Awak tak faham, atau buat-buat tak faham?”
“Kenapa ni Eja? Eja seperti menuduh abang. Seolah-olah ada kesalahan yang dah abang buat.”
Perlukah aku berterus terang dengan apa yang dah aku tahu sebelum ini? Aku mengeluh. Tiba-tiba terasa seperti dadaku sendat, tertekan. Penyakit aku datang lagi.
“Abang datang sini, berbincangkan hal ini. Bukan nak dengar tuduhan tak berasas Eja. Abang datang sini sebab abang rindukan Eja. Kenapa Eja tak nak beri abang peluang untuk berbincang hal ini?”
Kaki dan tanganku mula menggeletar. Mataku mula berair. Lelaki di sebelahku ini langsung tidak memandang. Kepalaku mula terasa seperti dihempap. Aku tersentap dan tanpa kusedari aku tertarik tangan Naqeeb. Lelaki itu menoleh.
“Eja! Siti Khadeeja!”
Dia terus memangku tubuhku yang mula terasa semakin kejang.
“Sabar, Eja. Sabar. Abang panggil Wa. Ayah! Wa! Tolong! Eja...Eja..”
“Sakit. Abang, tolong Eja. Sakit. Eja sakit.”
Pandangan ku semakin berbalam. Tatkala itu aku seperti terlihat lelaki yang bernama Umar berdiri di sebelah Naqeeb. Aku menggeleng. Pandanganku terus kelam.
1 ulasan:
menarik..
x sabar nk tunggu sambungannya.
Catat Ulasan